ARTIKEL

JUARA… Red Deer Petra Jaya FC muncul juara Piala Cahya Mata peringkat Sarawak 2026.

RDPJ FC bangkit tewaskan GTD FC

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Red Deer Petra Jaya FC (RDPJ FC) bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Gabungan Tentera Darat FC (GTD FC) 3-2 pada final Piala Cahya Mata peringkat Sarawak 2026, sekali gus muncul juara dan membawa pulang wang tunai RM20,000 bersama trofi.

Berlangsung di Padang Sekolah Sukan Tabuan, di sini, RDPJ FC berdepan permulaan sukar apabila ketinggalan 0-2 sebelum memperkemaskan permainan bagi mengejar defisit.

Ketua Jurulatih RDPJ FC, Izwandie Razali berkata, kebangkitan itu membuktikan ketahanan mental dan semangat juang pemain yang tidak mudah menyerah walaupun berdepan tekanan.

“Kita ketinggalan 0-2 pada awal permainan, tetapi pemain tidak panik dan terus percaya kepada kemampuan pasukan. Mereka terus berjuang dan akhirnya berjaya mengubah keadaan sehingga meraih kemenangan 3-2,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Kebangkitan RDPJ FC dipacu menerusi dua jaringan Irman sebelum Wan Badzrenn Wan Yusuf melengkapkan kebangkitan dengan gol ketiga.

Wan Badzrenn turut dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dan pemain terbaik final selepas memainkan peranan penting dalam kejayaan pasukan.

Izwandie berkata, kejayaan itu terhasil daripada komitmen seluruh pasukan yang kekal fokus dan berdisiplin sehingga tamat perlawanan, meskipun berdepan tekanan pada aksi final.

Kejayaan tersebut turut melayakkan RDPJ FC beraksi pada Grand Final Piala Cahya Mata di Negeri Sembilan pada November ini, yang menghimpunkan juara dari setiap negeri bagi menentukan juara keseluruhan.

“Selepas ini kami perlu fokus kepada Grand Final. Kami akan membuat persiapan sebaik mungkin kerana kami bukan sahaja membawa nama RDPJ FC, tetapi juga nama Sarawak,” katanya.

Piala Cahya Mata 2026 menghimpunkan lebih 11,000 pemain dan pegawai dengan keseluruhan hadiah melebihi RM500,000, termasuk RM100,000 untuk juara keseluruhan. Kejohanan itu berkembang daripada inisiatif akar umbi Mambong Community Cup pada 2024 sebelum diperluas sebagai platform bola sepak amatur peringkat kebangsaan.

KESEBELASAN UTAMA… Barisan pemain utama RDPJ FC pada perlawanan akhir Piala Cahya Mata 2026.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU