ARTIKEL

Pada majlis kemuncak sambutan HAWANA 2024 di Kuching, Sarawak, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengumumkan bahawa pemberian Insentif Rebat RAHMAH Pengamal Media akan diteruskan bagi tahun ini.

Rebat bil telefon beri manfaat besar kepada pengamal media

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Keputusan Kementerian Komunikasi meneruskan pemberian rebat bil telefon pelan pascabayar Insentif Rebat RAHMAH Pengamal Media bagi tahun kedua, pada Bulan Kebangsaan ini, disifatkan sebagai kemudahan yang amat bermanfaat.

Wartawan dan pengamal media secara amnya menzahirkan penghargaan atas keprihatinan kementerian yang dilihat dapat mengurangkan beban golongan itu yang kini bergantung kepada perkhidmatan Internet untuk menjalankan tugas.

Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM), Mohamad Fauzi Ishak, berkata bantuan kemudahan itu wajar diteruskan untuk tahun-tahun mendatang selain mencadangkan tempoh rebat turut dilanjutkan.

“Pengumuman ini adalah suatu kemudahan yang menarik dan wajar diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

“Banyak manfaat diterima dan dapatlah pengamal media berjimat kerana pengamal media banyak menggunakan data telefon bimbit malah perlu membeli data tambahan bagi memastikan talian telefon bimbit berfungsi sepanjang masa,” katanya kepada BERNAMA.

Isnin lepas, pada majlis kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di Kuching, Sarawak, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengumumkan bahawa pemberian Insentif Rebat RAHMAH Pengamal Media akan diteruskan bagi tahun ini.

Fahmi turut menyarankan agar organisasi media berdaftar yang belum melanggan kadar korporat yang ditawarkan oleh pengendali rangkaian mudah alih (MNO) untuk berhubung dengan pengendali bagi mendapatkan kadar korporat khas untuk pengamal media bermula 1 Julai 2024.

Sementara itu, Presiden Kelab Media Mutiara Pulau Pinang, Mohd Iskandar Othman, menyifatkan pemberian rebat berkenaan mampu meringankan sedikit beban pengamal media, dan pada masa sama dapat menikmati perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan Internet terpantas untuk memudahkan urusan kerja.

Pengerusi Penang Press Club, Tan Hu Chuan, pula menyifatkan inisiatif itu sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada petugas media dalam menjalankan tugas melaporkan berita dan maklumat kepada rakyat.

“Berhubung rangkaian mudah alih (MNO), kami akan cuba berhubung dengan mana-mana pengendali MNO bagi mendapatkan kadar korporat khas untuk pengamal media selepas tarikh 1 Julai nanti,” katanya.

Di Kelantan, Wartawan Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Majidah Ismail, berkata insentif rebat yang diberikan itu sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan beban pengamal media yang sering kali menggunakan kemudahan Internet dalam melakukan tugasan harian.

Selain itu, di Selangor, wartawan akbar Kosmo!, Mohd Yunus Yakkub, 41, berkata telefon bimbit serta perkhidmatan Internet menjadi ‘alat bantuan’ kewartawanan yang penting dalam pelaporan berita serta maklumat dengan pantas, justeru pemberian rebat itu adalah sesuatu yang amat dihargai.

“Sebagai wartawan yang tugasnya sentiasa tidak ‘lekang’ dari menggenggam telefon bimbit, inisiatif ini pastinya memberi sedikit kelegaan ketika menerima bil telefon,” katanya.

Bagi wartawan Utusan Malaysia, Athir Ismail, 36, yang sudah 12 tahun berkecimpung dalam bidang ini, kemudahan seumpama itu tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan yang mentadbir negara sebelum ini.

Sambutan HAWANA 2024 yang bertemakan ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’ diadakan di Kuching selama tiga hari bermula 25 Mei lepas dengan acara kemuncak sambutan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar ‘Utusan Melayu’ pada 29 Mei 1939, bertujuan untuk meraikan sumbangan pengamal media yang berperanan membentuk minda masyarakat bermaklumat selain memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri. — BERNAMA

BERITA LAIN

Tiga lelaki tiba-tiba rebah akibat rokok tercemar

BERLIN, Jerman: Dua lelaki tiba-tiba rebah semalamselepas menghisap rokok yang mengandungi bahan tidak diketahui, lapor agensi berita Jerman (dpa). Rokok berkenaan dipercayai dibeli daripada penjual

BERITA TERBARU