
SIMUNJAN: Rebung buluh di Sarawak berpotensi dipromosikan sebagai produk nilai tambah kepada industri tempatan dan juga eksport.
Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Datuk Hashim Bojet berkata, ia susulan nilai eksport produk rebung di peringkat antarabangsa kini mencecah sehingga RM2 billion.
“Melihat kepada prospek produk nilai tambah seperti di China, mereka telah memproses rebung untuk dijeruk dan dipasarkan ke pasaran dunia.
“Malah rebung juga boleh dikeringkan untuk menjadikan ia tahan lebih lama untuk dijual,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hutan Simpan Sabal di sini, hari ini.
Hashim menambah, sekiranya Sarawak turut melakukan inisiatif seperti China, rebung dapat menjadi salah satu produk yang mampu menjana pendapatan negeri dan rakyat.

“Secara umumnya masyarakat di Sarawak menggunakan buluh untuk membuat lemang dan rebung buluh digunakan untuk dimasak.
“Justeru, jika memperkenalkan ladang buluh seperti ini, kita tentu dapat menghasilkan kuantiti besar bahan mentah produk tersebut yang dapat memberi pulangan kepada komuniti di negeri ini,” ujarnya.