KUCHING: Hasil kraftangan mempunyai potensi untuk menjana pendapatan sekali gus menjana pulangan pendapatan yang lumayan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri.
Justeru beliau menggalakkan golongan belia untuk menceburi bidang kraftangan sebagai satu cara untuk meningkatkan kemahiran inovatif dan kreatif sekali gus menyumbang kepada industri pelancongan.
Katanya, golongan belia berpotensi untuk mempelajari pembuatan kraftangan dan boleh menjadi usahawan dalam industri pelancongan pada masa depan.
“Justeru, semua individu layak mengambil bahagian dalam bidang ini dalam usaha untuk menarik kehadiran pelancong ke negeri ini dan membeli barangan kraf mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis perasmian Kampus Satelit Institut Kraf Negara (IKN), hari ini.
Menjelas lanjut, Nancy berkata ia juga boleh dilihat menerusi penganjuran Hari Kraf kebangsaan yang bertempat di Kuala Lumpur dan Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang bertempat di Kuching, Sarawak.
Beliau berkata pada 24 Februari hingga 7 Mac lalu di Kuala Lumpur, Sarawak telah menghantar 50 usahawan kraftangan dan mereka mampu menjana RM700,000 bagi tempoh berkenaan.
Selain itu bagi Program Citrawarna pula, usahawan ini telah mengumpul nilai jualan sebanyak RM270,000.
“Untuk tujuan itu, Motac ingin menggalakkan lebih ramai anak muda untuk bergiat aktif dalam industri kraf ini.
“Hal ini kerana, usahawan ini akan boleh merasai dan melihat sendiri bagaimana mereka dapat menjana pendapatan melalui hasil titik peluh mereka,” katanya.