KUCHING: Para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) digalakkan untuk berkunjung ke Ekspo Pendidikan Sarawak 2023 yang berlangsung pada 8 Julai ini.
Ia bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai peluang kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang ada di Sarawak.
Ekspo yang diadakan secara serentak di 45 daerah di seluruh negeri itu juga akan dibuka untuk kunjungan orang ramai bermula pada jam 8 pagi hingga 2 petang.
Pengarah Yayasan Sarawak Mersal Abang Rosli berkata, penganjuran ekspo tersebut merupakan langkah pertama dalam menyebarkan maklumat mengenai pelbagai peluang untuk menlanjutkan pengajian ke peringkat tinggi termasuk di kawasan luar bandar.
“Para kaunselor kami juga menyediakan perkhidmatan sokongan dan kaunseling untuk membimbing dan menasihati pelajar lepasan SPM dan STPM membuat pilihan sekali gus mendaftar ke IPT yang diminati.

“Ini kerana statistik menunjukkan bahawa enrolmen pelajar Sarawak ke 20 universiti tempatan di Malaysia melalui sistem Unit Pusat Universiti (UPU) adalah terhad, dan hanya sebahagian daripada pelajar negeri ini boleh melanjutkan pelajaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sidang Media dan Penyerahan Geran Ekspo Pendidikan Sarawak 2023 di Auditorium Yayasan Sarawak, di sini, hari ini.
Disebabkan itu, ujarnya Yayasan Sarawak berhasrat untuk menawarkan mereka peluang melanjutkan pelajaran di universiti dan kolej di negeri ini.
“Sekali gus berharap para pelajar akan mengambil manfaat untuk mendaftar semasa ekspo tersebut berlangsung nanti,” tambahnya.
Antara institusi yang akan terlibat semasa pameran nanti adalah Yayasan Sarawak; Universiti Teknologi Swinburne (Swinburne); Universiti Curtin; Universiti Teknologi Sarawak (UTS); i-CATS University College; Kolej Laila Taib; Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs); dan Sarawak Skill.