CUTI atau waktu rehat merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh setiap orang yang bergelar pekerja.
Selepas bekerja untuk satu tempoh, maka wajarlah jika pekerja itu dibenarkan untuk mengambil cuti.
Bercuti bukan sahaja membantu kita berehat daripada kesibukan rutin harian tetapi juga membawa manfaat penting kepada kesejahteraan individu dan orang di sekitarnya.
Maka, merancang percutian sangat penting agar tempoh cuti berbaloi sepenuhnya meskipun ia hanya dua atau tiga hari.
Tidak lama lagi, Aidilfitri akan menjelang dan adakah anda sudah untuk mengambil cuti?
Apa persiapan yang telah dilakukan?
Jika merancang bercuti ke luar negeri, berapa bajet yang ditetapkan?
Menyentuh mengenai rancangan bercuti ke luar negeri, rata-rata rakyat Sarawak pasti menghadapi dilema berkaitan bajet untuk tiket penerbangan pergi dan pulang.
Ia menjadi topik hangat menjelang cuti sekolah atau perayaan!
Di Dewan Rakyat baru-baru ini, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary meminta kerajaan mengawal atau melaksanakan mekanisme supaya harga tiket kapal terbang berpatutan.
Bagaimanapun jawapan daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke agak mendukacitakan.
Menurutnya, kerajaan tidak boleh menetapkan harga siling tiket penerbangan domestik ekoran ia mungkin menjejaskan sektor pengangkutan udara itu.
Jelasnya, harga tiket kapal terbang adalah dinamik.
Tahukah anda apa itu harga siling?
Harga siling juga disebut sebagai harga bumbung bermaksud harga maksimum sesuatu barang yang ditetapkan dan dibenarkan oleh pihak berkuasa.
Maka seperti yang ditegaskan oleh Anthony, kerajaan tidak boleh letak harga siling.
Kerajaan bagaimanapun katanya, sentiasa menggalakkan syarikat penerbangan untuk menambah kapasiti penerbangan terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah.
Meskipun isu ini telah dijelaskan oleh kementerian berkenaan berkali-kali, bagi rakyat marhaen, mereka mahu harga tiket penerbangan berpatutan bukannya mencecah ratusan ringgit hanya untuk satu satu hala.
Percaya atau tidak, beban itu paling dirasai oleh kumpulan M40 dan B40 serta mereka yang bergantung dengan kemudahan udara itu untuk pulang ke kampung bercuti.
Melihat senario ini, adakah harga tiket penerbangan pada suatu hari nanti akan mampu milik?
Mungkin untuk masa ini angan-angan itu sangat mustahil berlaku.
Februari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, harga tiket akan terus kekal tinggi seiring dengan pertumbuhan industri penerbangan.
Jelasnya, pengekalan harga tiket yang tinggi ini disebabkan syarikat penerbangan mengambil peluang daripada ledakan perjalanan pascapandemik.
Oleh itu, untuk memastikan bajet tiket penerbangan itu munasabah, anda mesti membuat perancangan percutian khususnya jika hendak bercuti ke luar atau di Sarawak!
Tidak dinafikan merancang percutian saat-saat akhir pasti berlaku kepada sesiapa sahaja yang sibuk dengan karier mereka dan ada keluarga yang terpaksa menunggu anak-anak cuti sekolah.
Dan, harga tiket kayangan tidak dapat dielakkan ketika itu.
Dengan apa-apa yang berlaku hari ini, sebenarnya syarikat penerbangan ini ada memperkenalkan penerbangan tambahan istimewa pada kadar rendah tetap dan ia terpulang kepada anda untuk merebutnya.
Contohnya, pada 19 hingga 30 April depan, AirAsia Berhad memperkenalkan penerbangan tambahan istimewa pada kadar rendah tetap antara Semenanjung dengan Sarawak.
Perkara ini didedahkan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin yang menurutnya, tawaran harga tiket serendah RM199 sehala ini bagi mengelak kenaikan tambang penerbangan menaik secara mendadak.
Beliau berkata, kempen ini adalah untuk menangani kebimbangan orang ramai mengenai tambang penerbangan yang mahal pada musim perayaan. Promosi harga tiket sebegini wajar direbut.
Untuk makluman, jumlah penerbangan tambahan yang disediakan AirAsia dalam tempoh ini adalah sebanyak 62 penerbangan untuk 11 laluan di antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru untuk ke Sabah dan Sarawak.
Di Sarawak ada empat lokasi iaitu Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri manakala di Sabah ialah Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.
Jumlah tambahan kerusi pula sebanyak 11,400 kerusi. AirAsia juga mengendalikan 292 penerbangan mingguan pada tambang biasa ke destinasi yang sama.
Kesimpulannya cuti Aidilfitri masih jauh dan membuat rancangan percutian boleh dikemudiankan.
Jika anda berfikiran sedemikian, anda mungkin terpaksa mengeluarkan bajet yang besar hanya untuk tiket penerbangan sekiranya ia melibatkan percutian ke luar dan dalam negeri.
Maka, rancanglah percutian anda dengan sebaik mungkin.