ARTIKEL

Awang Tengah (baris belakang, tengah) bersama-sama tetamu kehormat lain merakam gambar dengan anak-anak yatim yang menerima sumbangan sempena Rumah Terbuka Rindok Raya RECODA di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

RECODA diamanah laksana 243 projek infrastruktur asas kritikal

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) sehingga kini telah diamanah melaksanakan sebanyak 243 projek infrastruktur asas kritikal, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM4.5 bilion di bawah Kerajaan Sarawak.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata projek-projek itu memberi tumpuan kepada peningkatan kesalinghubungan, aksesibiliti serta perkhidmatan asas, khususnya di kawasan luar bandar dan kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.

Selain itu, beliau berkata RECODA turut berperanan sebagai pemudah cara pelaburan utama dengan mewujudkan ekosistem yang kondusif dan mesra pelabur bagi pelabur tempatan dan antarabangsa.

“Inisiatif ini bukan sahaja merangsang aktiviti ekonomi, malah meningkatkan keupayaan tempatan melalui pelaburan berimpak tinggi di seluruh Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE),” katanya berucap pada Rumah Terbuka Rindok Raya RECODA di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, Awang Tengah yang juga Menteri PerdaganganAntarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata sehingga kini, jumlah pelaburan yang diluluskan di SCORE telah mencecah RM151.5 bilion, merangkumi 655 projek dengan potensi menjana lebih 60,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen kukuh ke arah pertumbuhan mampan, pembangunan yang saksama serta ketahanan ekonomi jangka panjang bagi negeri ini,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata RECODA bersama tiga agensi pembangunan wilayahnya iaitu Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) memainkan peranan penting dalam memastikan pembangunan wilayah yang seimbang dan inklusif di seluruh Sarawak.

Justeru, Awang Tengah merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II berkata dalam konteks pembangunan sosio ekonomi, RECODA bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal, malah turut memainkan peranan penting dalam memperkasa komuniti setempat melalui peningkatan taraf hidup dan peluang ekonomi yang lebih inklusif.

“Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan memberi impak langsung kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar yang sebelum ini berdepan dengan pelbagai kekangan akses dan peluang,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata pembangunan bakat tempatan turut menjadi keutamaan, dengan melalui pelaburan dan projek yang dilaksanakan, RECODA membantu mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta membuka ruang kepada pemindahan pengetahuan dan kemahiran kepada tenaga kerja tempatan.

“Ini penting dalam memastikan rakyat Sarawak bukan sahaja menjadi penerima manfaat pembangunan, tetapi turut menjadi pemain utama dalam ekosistem ekonomi negeri,” katanya.

Selain itu, Awang Tengah berkata usaha RECODA adalah selari dan saling melengkapi agenda pembangunan Kerajaan Sarawak, khususnya di bawah strategi pembangunan jangka panjang negeri.

Katanya pendekatan yang inklusif itu memastikan tiada kawasan yang tercicir dan setiap wilayah dapat menikmati hasil kemajuan secara adil dan seimbang.

“Kita juga menyaksikan bagaimana pembangunan yang dirancang bukan sahaja tertumpu kepada aspek ekonomi semata-mata, tetapi turut mengambil kira kesejahteraan sosial, kelestarian alam sekitar serta keperluan generasi akan datang.

“Ini mencerminkan komitmen berterusan dalam membina sebuah Sarawak yang progresif, berdaya tahan dan mampan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU