Recoda terima RM2.016 bilion

KUALA LUMPUR: Peruntukan siling tahunan yang diluluskan untuk projek Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda) berjumlah RM2.016 bilion sejak 2015 sehingga tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM1.886 bilion diperuntukkan sehingga suku kedua tahun ini, manakala sejumlah RM130.55 juta disalurkan sebelum akhir tahun ini.

“Berhubung projek dilaksanakan di kawasan Baram, Sarawak terdapat dua projek siap pada Disember 2014, iaitu jalan akses ke tapak empangan Baram dengan kos terlibat RM234.6 juta.

“Projek kedua, ialah Stesen Pertanian Bersepadu Tanah Tinggi di Baram RM30.81 siap pada Februari tahun ini.

“Projek tersebut bertujuan membangunkan sektor pertanian tanah tinggi melalui penyelidikan tanaman asli di kawasan Baram,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan daripada Anyi Ngau (gambar) (GPS-Baram) berhubung jumlah peruntukan pembangunan diluluskan kepada Recoda, sebuah badan berkanun Kerajaan Sarawak yang merupakan sebuah agensi di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM), sejak 2015.

Menurut Arthur, pelaksanaan bagi kedua-dua projek berkenaan meningkatkan sosioekonomi rakyat. Selain itu, memberi impak pembangunan di kawasan pedalaman dan tanah tinggi di kawasan Baram. – Bernama