Rekod tertinggi Covid-19, amaran buat rakyat

KUCHING: Rekod tertinggi positif Covid-19 yang pernah dicatatkan Sarawak hari ini merupakan amaran kepada rakyat negeri ini, tegas Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Ujarnya selagi rakyat tidak mematuhi SOP, kes jangkitan wabak itu di Sarawak akan semakin meningkat dan membawa implikasi besar.

“Peningkatan kes jangkitan begini juga menyebabkan kita tidak dapat kembali menjalani kehidupan seperti sediakala.

“Sekali lagi saya menyeru orang ramai supaya terus kekal mematuhi SOP yang dikeluarkan, jangan leka untuk memakai pelitup muka dan pastikan penjarakan fizikal diamalkan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri mengumumkan JPBNS bersetuju membenarkan Program Pengimarahan Ramadan di Masjid dan Surau tertakluk kepada SOP yang dikeluarkan pada 1 April lalu.

Sementara itu katanya, Daerah Mukah bertukar
kepada status merah.

“Ini menjadikan jumlah berstatus merah meningkat kepada 13 daerah, Subis pula bertukar dari status kuning kepada jingga.

“Manakala 17 daerah berstatus kuning dan lima daerah berstatus hijau,” tambahnya.

Suara Sarawak