ARTIKEL

Rela dalam terpaksa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DUA hari lalu, saya membaca rangka berita laporan khas tulisan wartawan mengenai remaja hamil.

Setiap kali mereka menulis laporan yang menyentuh tentang kemanusiaan, kehidupan dan sisi yang tidak didedah kepada dunia, saya sangat suka menemu bual mereka semula selepas mereka selesai temu bual sumber.

Alasannya tidak lain tidak bukan, supaya saya masuk ke dalam chapter yang ditulis kemudian memudahkan saya meniup roh artikel berkenaan.

Jika sebelum ini, saya terkejut dengan perkongsian wanita lorong — yang saya rasa tidak semua wartawan boleh mendapatkan sumber pertama segar termasuk pengakuan berani mati pelacur, kali ini saya terkejut dengan pengakuan remaja hamil ketika usia 16 tahun.

Bukan terkejut bagaimana dia hamil kerana sudah tentu fitrahnya — hamilnya wanita kerana hubungan kelamin dengan lelaki.

Saya terkejut kerana dia hamil selepas dimasukkan sesuatu dalam minumannya oleh teman lelakinya sendiri sehingga dia khayal.

Lebih mengejutkan saya kerana teman lelakinya juga pelajar sekolah yang sama.

Dan, bertambah terkejut kerana mereka melakukannya di bangunan tinggal berdekatan sekolah.

Tiba-tiba saya teringatkan anak gadis saya pada usia yang sama ketika ini, hati saya jatuh kasihan dengan remaja ini.

Mengikut pengakuannya, dia ditipu oleh sahabat baiknya sendiri sehingga berlalu kejadian tragis itu, ketika usianya sepatutnya masih di bangku sekolah — dia berbadan dua.

Walaupun kini usianya pertengahan 20-an, apa-apa yang dia kongsikan benar-benar satu pengakuan yang wajar dilihat ibu bapa dari sudut positif.

Katanya, tubuhnya yang kecil membuatkan rakan-rakan sekolah tidak tahu dia mengandung.

Dia meneruskan persekolahan, keluarganya juga tidak perasan.

Hinggalah, pada hari dia bersalin berseorangan di dalam tandas, baru dia berasa bahawa dia perlukan ibunya saat kesakitan yang sangat dahsyat.

Nasib baik anaknya selamat dan lahir sihat walaupun lahir di dalam tandas.

Ceritanya, ketika itu keluarganya marah. Itu biasa, mana mungkin keluarga tersenyum saat menerima berita duka seperti itu.

Nasib masih menyebelahinya kerana keluarga mendaftar bayi berkenaan mengikut saluran betul dan menyumbat bapa bayi itu ke dalam penjara.

Anak itu dipelihara emaknya sebagai adik angkatnya.

Kini membesar dengan baik dan wanita ini menutup semua pintu kemaafan terhadap bekas teman lelaki sebaik sahaja dia keluar penjara.

Katanya, bekas teman lelaki merayu memohon kemaafan dan bersedia untuk menebus kesalahan serta mengajaknya berkahwin.

“Tidak.

Saya tidak akan memaafkan sepanjang hayat saya.

Mungkin ketika itu, saya turut bersalah tetapi untuk dihalalkan dengannya kemudian tidur baring di sebelahnya, tidak mungkin.

“Ketika itu juga saya bersalah kerana terpengaruh dengan kawankawan.

Tapi, kini saya bertuah kerana diberi peluang untuk berubah,” katanya.

Apa yang berlaku selebihnya, bacalah dalam artikel yang akan terbit esok lusa.

Daripada temu bual itu, saya dapat rasakan dendam terbit di dalam hatinya, sama dengan kisah pelacur yang kebanyakannya kehidupan dihancurkan oleh lelaki menjadikan mereka memilih untuk terus merosakkan diri.

Dan, pesan saya kepada anak gadis saya — suatu hari nanti, pilihlah lelaki yang menyayangi ibunya nescaya dia akan menyayangi wanita bergelar isteri.

Saya sendiri berasa seram dengan data Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) — Kajian Kesihatan Remaja 2022 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengesahkan 33 peratus atau 11,062 daripada 33,523 remaja di Malaysia hilang perawan sebelum umur 14 tahun.

Kajian itu melibatkan sejumlah 33,523 remaja berusia 13 hingga 17 tahun.

Daripada jumlah tersebut, dilaporkan sebanyak 7.6 peratus daripada mereka pernah melakukan seks di usia remaja, manakala 88 peratus daripada mengamalkan seks tidak selamat.

Kajian itu juga ada hubung kait dengan kajian bahawa satu daripada lapan remaja pernah memikir untuk membunuh diri.

Jumlah itu lebih tinggi dalam kalangan remaja perempuan iaitu 18.5 peratus berbanding lelaki apabila satu daripada empat remaja perempuan mengalami kemurungan akibat tekanan perasaan.

Manakala anggaran statistik Kementerian Kesihatan mengesahkan, secara purata 4,000 remaja perempuan bawah usia 18 tahun negara ini, hamil setiap tahun.

Ini merupakan fakta yang membimbangkan kerana kebanyakannya disebabkan aktiviti seks bebas.

Faktor sosial dan pengaruh rakan sebaya, media sosial yang bebas, pornografi, kurang komunikasi dan sokongan keluarga terbuka antara penyebab berlakunya kehamilan dalam kalangan remaja.

Saya percaya komunikasi terbuka dalam keluarga menjadi kerangka penting untuk semua ibu bapa memahami semua sisi putih dan gelap anak.

Jangan percaya anak 100 peratus kerana di luar pagar rumah, watak mereka boleh bertukar. Simpankan sedikit perasaan ragu walaupun di depan kita, mereka ibarat anak kiriman syurga.

Lagipun, ibu bapa acuan akhlak anak — maknanya siapa anak kita di luar sana, ia bermula daripada didikan kita di rumah.

Kita bukan ibu bapa sempurna tetapi tanggungjawab kita menjadikan anak supaya sempurna.

Jika saya miskin, saya takkan biarkan mereka mengalami kenangan yang sama ketika saya kecil.

Menjadi orang tua memang tidak mudah.

Meski ia sesuatu yang membanggakan, kita pasti berdepan pelbagai situasi yang sulit.

Jika inginkan anak bersikap baik, kita harus memberi contoh sikap yang baik dalam kehidupan seharian.

Dan, jangan menggantung harapan tinggi terhadap anak-anak.

Biar harapan itu yang sedangsedang sahaja, kerana jika terjatuh dari tempat tinggi, ia akan memberi kesakitan yang tidak terungkap dengan kata-kata.

Jangan manjakan anak sehingga dia menjadi seperti ‘tuan’.

Terlalu dituruti semua kemahuan dan diberi kebebasan sepenuhnya, tidak mustahil suatu hari nanti ibu bapa dijadikan alas kaki anak.

Manakala anak pula terus menjadi raja hingga dewasa. Ingatkan selalu kepada mereka — bahawa kita adalah syurga dan neraka bagi mereka.

Sama dengan kalian di luar sana, saya antara berbilion-bilion ibu di dunia — mahukan yang terbaik untuk anak-anak.

Saya juga akan menangis jika anak-anak sakit, saya akan ketawa jika anakanak bahagia.

Sayangnya tidak semua anak faham akan erti hati kita.

Terkadang perkataan dan perbuatan mereka kerap membuat kita terluka.

Anak juga tidak sedar, kita sering menangis.

Namunada ketikanya kita diam kerana rasa cinta lebih besar dibanding amarah.

Walau mustahil menjadi ibu bapa sempurna, namun kita berusaha untuk menjadi terbaik bagi anakanak.

Anak-anak kena ingat – orang tua tidak pernah ingin anak menjadi seperti mereka tapi mahu anak menjadi lebih baik daripada mereka!

BERITA LAIN

Kita saling mengingati

PADA minggu depan minggu terakhir 20 pelatih universiti akan menamatkan latihan industri di organisasi kami. Sesungguhnya kami berbangga kerana menjadi pilihan universiti meletakkan pelajar mereka

Affandi Tahir, rakam sejarah melalui pita

BELIAU bukan seorang penyanyi. Beliau juga bukan seorang pelakon. Tetapi namanya cukup popular suatu ketika dahulu. Bukan hanya kerana ketampanannya, tetapi kerana beliau penyiar radio

Telus, sahih dan tepat

SEBELUM ada komputer dan telefon bimbit canggih seperti hari ini, wartawan bergantung kepada komputer di pejabat untuk menulis berita. Dan biasanya wartawan hanya akan berada

Ketagih subsidi

ISU berkaitan subsidi kembali hangat diperkatakan. Adakah pemberian subsidi sesuatu yang harus terus diamalkan ketika beban hutang negara semakin membengkak? Bagaimanakah reaksi rakyat apabila subsidi

Tragedi dunia maya Si Kucing Gendut

FAT Cat, 21, atau nama sebenarnya Liu Jie, selebriti dunia gamer – permainan popular Honour of Kings – namanya tiba-tiba melonjak di dunia maya khususnya

Zaman makin canggih, adab makin mundur

KETIKA masih kanak-kanak atau zaman sekolah sekitar tahun 90-an atau awal 2000, kita amat menghormati orang lebih tua terutama ibu bapa. Ini kerana kebanyakan kita

BERITA TERBARU