Relevan dan sesuai dengan peredaran masa – Huang

KUCHING: ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pembangunan hartanah bertingkat atau berstrata merupakan satu corak pembangunan mampan mula diterima sebagai cara baharu di Sarawak.

Menurutnya, cara kehidupan berkongsi kemudahan awam memerlukan sikap bertanggungjawab dan bertimbang rasa supaya bangunan, kemudahan awam dan persekitaran sentiasa terurus dan terpelihara.

“Peruntukan undang-undang dan peraturan berkaitan dengan penyelenggaraan dan pengurusan bangunan berstrata perlu jelas, teratur dan berkesan supaya penghuninya dapat menikmati kehidupan yang harmoni.

“Dalam pada itu, pemerkasaan di peringkat agensi kerajaan serta kejelasan prosedur dan perundangan dalam melaksanakan pendekatan seharusnya diambil kira,” katanya ketika menyokong Rang Undang-Undang Strata 2019.

Huang berkata, penambahbaikan dalam pengurusan strata sangat perlu dikemaskini dan ditambahbaik untuk memastikan faedah kebaikan bersama samada di peringkat kerajaan, pemaju mahupun pengguna.

“Saya percaya, sebelum Rang Undang-Undang ini dibentangkan, pihak Kementerian berkaitan sudah membuat kajian mendalam secara terperinci mengenai pindaan yang hendak dilakukan.

“Dengan meluluskan rang undang-undang ini, ia akan ‘empower the people’, terutamanya, pemilik-pemilik bangunan berstrata termasuk penghuni rumah kos rendah bagi menangani isu penyenggaraan dan pengurusan bangunan yang lemah,” katanya.

Beliau menambah, rang undang-undang baharu itu adalah satu usaha penambahbaikan ke atas mekanisma penyenggaraan dan pengurusan bangunan serta harta bersama.

“Dengan ini, ia akan memperhalusi tatacara, tempoh, tanggungjawab, pembahagian kuasa pemaju, dan memastikan pengurusan bangunan dapat berjalan dengan teratur dan kemas,” jelasnya.

Huang ketika tiba di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Suara Sarawak