Remaja cuba bunuh diri gagal

KUCHING: Seorang remaja perempuan dipercayai cuba melakukan bunuh diri dengan bertindak terjun daripada tingkat dua sebuah bangunan berhampiran tempat tinggalnya di Jalan Tun Jugah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata, pihaknya menerusi Pusat Kawalan Daerah Kuching telah menerima maklumat kejadian sekitar jam 12.20 tengah hari.

Menurutnya, mangsa seorang warga tempatan berusia 18 tahun dan bekerja sebagai pembantu di sebuah restoran di kawasan Kuching.

“Mangsa telah bertindak terjun daripada bangunan terbabit namun cuma mengalami kecederaan di kaki.

“Susulan itu, dia (mangsa) segera dihantar ke HUS oleh pihak Ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia untuk menerima rawatan lanjut,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedah beliau, kejadian berpunca setelah mangsa disyaki mengalami masalah kemurungan.

Tambahnya, siasatan lanjut mendapati mangsa merupakan seorang pesakit Psychiatric yang masih menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak(HUS).

Ujarnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan masih lagi dalam siasatan.