KUCHING: Seorang remaja lelaki dari Johor Bahru didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki wang secara tidak sah berjumlah RM4,290 dalam akaun peribadinya.
Tertuduh berusia 19 tahun mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Sarawak 1958 yang dibacakan di hadapan dua Majistret Zaiton Anuar.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki sejumlah wang RM120 secara tidak sah selepas seorang mangsa lelaki memasukkan wang di sebuah bank di Taman Green Acres, Batu 17 di sini, sekitar jam 6.27 petang, 6 November 2022.
Manakala, pertuduhan kedua dan ketiga, dia didapati memiliki sejumlah wang RM4,170 secara tidak sah dalam akaunnya selepas menerima dua transaksi kemasukan wang daripada mangsa yang sama pada waktu berbeza, 7 November 2022.
Oleh itu, Zaiton menjatuhkan hukuman denda RM500 atau penjara lima hari bagi setiap pertuduhan terhadap remaja terbabit.
Menurut fakta kes, pada 6 November 2022, mangsa telah melihat satu perkongsian dalam media sosial mengenai jualan tilam pelbagai harga seterusnya berminat hendak membeli lalu menghubungi wanita bergelar Jessica.
Mangsa diarahkan membuat pembayaran ke satu nombor akaun atas nama tertuduh lalu membuat tiga transaksi pembayaran dengan jumlah keseluruhan RM4,290.
Namun demikian, pengadu gagal mendapat tilam yang dibeli sehingga ke hari ini, seterusnya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.