SARIKEI: Seorang remaja dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai dipercayai ketika mengangkat bubu di Sungai Stubah Bintangor, hari ini.
Insiden kira–kira jam 12.00 tengah hari itu dilaporkan berlaku ketika mangsa, Jackson Janang, 20, mengeluarkan hasil tangkapan daripada bubu semasa berada dalam perahu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.06 tengah hari sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi untuk menghulurkan bantuan.
“Ketika kejadian, remaja itu dikatakan seorang diri, berseluar pendek dan tidak berbaju. Dia dilaporkan terjatuh ketika mengeluarkan hasil tangkapan sebelum hilang dibawa arus.
“Insiden dilaporkan berlaku kira-kira 70 meter dari jeti rumah panjang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang giat dilakukan oleh pasukan penyelamat dan penduduk kampung.