Remaja jual judi dalam talian dicekup

KUCHING: Seorang remaja lelaki yang bekerja sebagai penjual judi dalam talian dicekup polis dalam satu serbuan di sebuah premis di Tapah, Jalan Kuching Serian petang tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supritenden Aidil Bolhassan berkata, serbuan tersebut dijalankan oleh sepasukan Polis dari Ibu Pejabat Polis Padawan pada jam 6.49 petang tadi.

Katanya, pasukan serbuan turut menjalankan pemeriksaan lanjut dalam premis tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati telefon bimbit suspek dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti penjualan judi dalam talian.

“Malah, suspek juga mengaku bekerja sebagai penjual judi dalam talian,” kata Aidil dalam satu kenyataan.

Jelasnya, seunit telefon pintar, wang tunai bernilai RM160 dan sekeping kertas bertulis angka disyaki ID dan kata laluan untuk judi atas talian.

Tambah Aidil, suspek serta barangan yang dirampas telah diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.

Suara Sarawak