Remaja lelaki maut, motosikal terbabas di Jalan Kampung Baru, berhampiran Jambatan Samarahan

KOTA SAMARAHAN: Seorang remaja lelaki maut manakala kawan perempuannya cedera ringan, apabila sebuah motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Baru, berhampiran Jambatan Samarahan di sini.

Dalam kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 8.30 malam semalam, Mohd Azman Jamil, 19, dari Kampung Moyan Laut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS).

Manakala kawan perempuannya, yang juga berusia 19 tahun dari Kampung Asajaya Laut dibawa ke HUS untuk rawatan lanjut.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, semasa kejadian mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y150 bersama remaja perempuan terbabit hendak menuju ke arah Asajaya.

“Semasa bergerak lurus, motosikal mereka dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan dan terbabas. Mangsa maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata ketika kejadian, cuaca dan keadaan jalan dalam keadaan baik.

Katanya kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mangsa maut di tempat kejadian.

 

Keadaan motosikal mangsa selepas terbabas di Jalan Kampung Baru, berhampiran Jambatan Samarahan di sini, semalam.