Remaja maut langgar tiang lampu

KUCHING: Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Jalan Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Yaakub di sini, petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendent Alexson Naga Chabu berkata kejadian dilaporkan kira-kira jam 2.40 petang ketika mangsa yang berusia 19 tahun dalam perjalanan dari arah Satok menuju ke Matang.

“Motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu bergesel dengan rasuk jalan sebelum melanggar tiang lampu di tepi jalan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat kecederaan parah di bahagian dada.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak