Remaja maut, motosikal berlanggar dengan kereta

KUCHING: Seorang remaja lelaki maut manakala rakannya cedera ringan selepas motosikal dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah kereta di lampu isyarat Batu 12, Jalan Kuching-Serian semalam.

Mangsa dikenali Muhammad Taufik Hidayah Hamidy, 16, dari Jalan Tebakang, Serian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 4.30 petang, berpunca daripada tindakan mangsa yang datang dari arah Serian membuat pusingan U ketika lampu isyarat berwarna hijau.

“Sebuah MPV jenis Naza Sorento yang dipandu seorang wanita sedang bergerak lurus dari arah Batu 11, Jalan Kuching-Serian telah berlanggar dengan motosikal jenis Yamaha LC135 yang ditunggang mangsa bersama rakannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson menambah mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS).

Rakannya yang cedera ringan di kaki juga dibawa ke HUS untuk rawatan manakala wanita terbabit yang berusia 39 tahun berasal dari Kedah tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak