Remaja maut motosikal dilanggar dua buah kereta

KOTA SAMARAHAN: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun maut dalam kemalangan jalan raya di bulatan pusat beli-belah Summer, semalam.

Mangsa, Muhammad Zaim Rahimi Zamri disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, kejadian sekitar jam 10 malam itu membabitkan tiga buah kenderaan.

Menurutnya, kemalangan berpunca selepas motosikal ditunggang mangsa dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta Kancil.

“Akibat daripada rempuhan tersebut, mangsa yang terjatuh telah dilanggar sebuah lagi kereta jenis Alza yang bergerak dari arah sama.

“Pemandu kereta Kancil dipercayai bertindak melarikan diri susulan kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mayat telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Umum Sarawak untuk siasatan lanjut.

Ujarnya, kes masih lagi dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

NAHAS… Motosikal yang ditunggang oleh mangsa ketika kejadian

Suara Sarawak