Remaja maut rempuh Hilux di Padawan

KUCHING: Seorang remaja lelaki meninggal dunia setelah motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan Hilux dalam kemalangan jalan raya di Jalan Sirag, Padawan, di sini, hari ini.

Mangsa, Joseph James Pusok, 18, beralamat No. 83 Kampung Sikog, Jalan Penrissen disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu Hilux, 68, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan melibatkan dua buah kenderaan itu dilaporkan berlaku di persimpangan Lorong Pesa 5 sekitar jam 7 pagi.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan Hilux masuk ke simpang sebelah kanan lalu dirempuh oleh sebuah motosikal yang bergerak lurus dari arah bertentangan.

“Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak petugas Hospital Serian,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan mendapati kenderaan Hilux telah dilanggar di bahagian tepi sebelah kiri.

Beliau bagaimanapun mendedahkan kes tersebut masih lagi dalam siasatan.

“Kenderaan terbabit telah dibawa ke Balai Trafik Padawan untuk pemeriksaan Puspakom dan Jabatan Kimia.

“Manakala pemandu Hilux telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut, ” katanya.

Ujarnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MAUT… Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian

Suara Sarawak