KUCHING: Seorang remaja perempuan mengaku bersalah atas kesalahan mencuri wang berjumlah RM600 milik rakan sekerja.
Tertuduh berusia 18 tahun dari Bintulu membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri wang milik mangsa wanita berusia 31 tahun di dalam sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Tengah, kira-kira jam 10.35 malam, 11 November 2022.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan pendengaran laporan sosial terhadap pesalah muda itu pada 15 Februari depan.
Tertuduh kemudian dibebaskan dengan jaminan mahkamah RM1,000 dan ibu sebagai penjamin sementara menunggu laporan sosial.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.