Remaja perempuan ditangkap jual judi atas talian dan rokok seludup

BAU: Seorang remaja perempuan warga Indonesia ditahan dalam serbuan ke atas sebuah kedai makan yang menjalankan kegiatan perjudian atas talian dan menjual rokok seludup.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata remaja berusia 18 tahun dari Sambas itu ditangkap dalam Ops Dadu yang dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (JSJ IPD) Bau lebih kurang jam 5 petang semalam.

“Semasa serbuan dijalankan ke atas sebuah kedai makan ‘Rave Kopitiam’ di Siniawan Sentral, pasukan telah menangkap seorang remaja perempuan warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Poge menambah serbuan turut merampas beberapa karton pelbagai rokok seludup termasuk wang tunai, telefon bimbit, buku nota tercatat angka bayaran judi atas talian dan sekeping kad sim.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam.

Sebuah kedai makan ‘Rave Kopitiam’ yang diserbu kerana menjalankan kegiatan perjudian atas talian dan menjual rokok seludup.