BINTULU: Mahkamah Majistret Bintulu hari ini melanjutkan tempoh tahanan reman empat hari terhadap seorang pengurus syarikat bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu bernilai RM182,420.
Perintah reman sehingga rabu ini dikeluarkan Majistret Wan Mohd Bukhari Wan Mohd selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Bintulu.
Terdahulu, suspek lelaki berumur 57 tahun itu ditahan oleh SPRM pada 30 Januari lalu berhampiran Balai Polis Pusat Miri dan ditahan reman selama empat hari bermula 1 Februari lalu bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, suspek yang merupakan pengangkut kepada sebuah jabatan kerajaan telah mengemukakan invois-invois yang mengandungi butir matan palsu berhubung tuntutan kos penghantaran diesel dan petrol RON95 ke kawasan pedalaman di sekitar Kakus dan Sungai Kakus di bawah Program Penyeragaman Harga (PPH).
Suspek lelaki tersebut diwakili peguam Voon Lee Shan manakala SPRM diwakili Pegawai Penyiasat Shahrin Ab Rahman.