Rempah Sitihazar terbang ke Brunei

KUCHING: Ingin menjadi pengeluar utama produk rempah dari Sarawak menjadi impian Sitihazar Junaidi yang mengusahakan pelbagai jenis rempah dan herba masakan.

Berasal dari Limbang Sitihazar berkata, produk rempah dan herba masakan di Sarawak masih kurang walaupun mendapat permintaan yang tinggi.

“Antara produk rempah dan herba masakan yang popular adalah seperti kunyit, lada, kacang ma dan sebagainya. “Saya membangunkan rempah dan herba ini menjadi serbuk agar ia mudah dan senang dibawa ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Suara Sarawak semasa Program Agro Bazar Online (ABO) yang dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Tambahnya, beliau menyertai Fama sejak dua tahun yang lalu dan mendapat tempahan sehingga ke Brunei. “Selain rempah dan herba saya membangunkan produk seperti terung asam dan serbuk dabai.

“Fama banyak membantu saya dalam mengenal pasti masalah dan kekurangan produk. “Selain itu, Fama juga bertindak membantu dalam membuat bungkus makanan dan menunjukkan jalan penyelesaian kepada masalah yang saya hadapi,” katanya.

Beliau turut memberi tahu bahawa, perniagaannya meningkat 50 ke 60 peratus selepas menyertai Fama. “Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perniagaan saya mendapat sambutan di dalam talian.

“Malah, pasaran ke luar negara juga meningkat kerana produk saya adalah berasaskan serbuk,” katanya. Sehubungan itu, beliau berhasrat membuat serbuk kacang ma yang baik untuk wanita selepas bersalin dan orang demam.

“Peluang perniagaan di Sarawak memang ada, cuma pasaran dalam talian masih belum rancak seperti di Semenanjung.

“Oleh itu, saya menyeru orang ramai terutama ibu tunggal agar jangan malu tampil dan berjumpa dengan agensi seperti Fama untuk mendapatkan nasihat memulakan perniagaan,” katanya.

Suara Sarawak