Repok rancak membangun

SARIKEI:  Perlaksanaan projek pembangunan kini rancak dilaksanakan di kawasan Repok bagi memberi kemudahan kepada masyarakat di sekitarnya.

ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, usaha itu tidak hanya tertumpu di kawasan bandar sebaliknya turut dipergiatkan di kampung dan rumah panjang.

Malah katanya, kebanyakan projek itu berimpak tinggi dan membawa kesan positif kepada rakyat dalam tempoh jangka panjang.

“Saya amat bersyukur perlaksanaan kesemua projek berjalan lancar. Ini membuktikan Kerajaan Sarawak melakukan perancangan teliti sebelum melaksanakannya,” katanya pada Majlis Sambutan Ambang 2020 di Dewan Sentral di sini, malam tadi.

Beliau berkata, jika diimbas kembali sepanjang 2019, rakyat kawasan Repok mendapat pelbagai projek daripada Kerajaan Sarawak yang diterajui GPS.

Hasil komitmen Kerajaan Sarawak yang diterajui GPS katanya, Sarawak terus berada pada landasan kukuh dan sudah pasti Sarawak bagi merealsasikan impian itu.

Pada masa yang sama katanya, sebagai kawasan paling pesat membangun, Sarikei mempunyai ‘Green Pasture’ atau kawasan baru yang memberi peluang baharu kepada rakyat.

“Saya mewakili seluruh rakyat di N. 45 Repok amat terterima kasih dengan projek seperti pembinaan jalan ke Tanjung Manis, pembinaan jalan di luar bandar dan sekolah, projek yang mengalakkan pembangunan agro industri di Sarikei.

“Ini menunjukkan yang kita mempunyai seorang Ketua Menteri yang cukup prihatin dengan keperluan rakyat, tidak kira di penjuru manapun di Sarawak,” jelasnya.

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,800 penduduk yang sebahagian besarnya masyarakat Iban dari lebih 100 rumah panjang di kawasan Repok.

Ia dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik termasuk miring, persembahan pentas hiburan dan cabutan tiket bertuah.

Majlis yang bermula pada jam 7.00 malam berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh muhibbah.