Repok terus membangun

SARIKEI: Kawasan Repok mengalami banyak perubahan dari segi pembangunan dalam tempoh tiga tahun ini selepas kawasan itu diterajui Kerajaan GPS.

Adun Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, pelbagai projek pembangunan dilaksanakan di Repok menerusi penyaluran dana Kerajaan Sarawak.

Jelasnya, antara projek itu ialah menaik taraf kemudahan di luar bandar dan rumah panjang, memperluas jalan raya dan menaik taraf kemudahan asas sekolah.

“Semua projek daripada Kerajaan Sarawak itu adalah untuk kesejahteraan rakyat khususnya mereka di kawasan Repok.

“Saya yakin rakyat di kawasan ini amat berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana membawa banyak kemajuan di sini sejak tiga tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Karnival Persatuan Klan Peng Cheng Chieng ke-19 di Dewan SMK Tinggi Sarikei, semalam.

Dalam majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Klan Peng Cheng Chieng.

Tiong Sii menambah, beliau sebagai wakil rakyat juga memberikan komitmen penuh untuk memastikan setiap masalah atau isu di peringkat akar umbi diselesaikan dengan segera.

“Tindakan segera perlu dilakukan bagi memastikan kebajikan penduduk setempat terpelihara,” katanya.