Rezeki ambil alih perniagaan rakan

KUCHING: Di sebalik cabaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan tahun lalu, turut terselit hikmah kepada peniaga goreng pisang, Jesca Jema Rogers, 28.

Dia yang memulakan perniagaan sejak Jun tahun lepas, mengatakan bahawa dirinya mula-mula was-was meneruskan perniagaan tersebut secara persendirian.

“Sebelum ini saya hanya menjual kuih-muih dari rumah sambil membantu kawan berniaga di Rumah Asap Tabuan Dayak.

“Setelah PKP dikuat kuasa, kawan saya mengambil keputusan berhenti dan kemudian perniagaan tersebut beralih tangan untuk saya uruskan sendiri,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Menurut beliau, dengan sokongan keluarga dan rakan lain, perniagaan yang dijalankan itu kekal bertahan hingga ke hari ini.
“Setakat ini saya memang beroperasi di Rumah Asap Tabuan Dayak bermula 6 petang hingga 10 malam.

“Selain goreng pisang keju, saya juga menjual burger buatan sendiri di tapak sedia ada,” katanya lagi.

Jesca turut mendedahkan ramuan goreng pisang yang dijualnya berdasarkan bancuhan tepung sendiri yang diperoleh dari resepi kawannya.

Beliau menjelaskan ramai pelanggan yang memintanya terus menjual goreng pisang tersebut kerana keenakannya.

“Saya menetapkan harga goreng pisang ini dalam kadar harga RM7 sekali hidang, manakala burger pula RM8 sebiji.

“Syukur, kerana permintaan terhadap goreng pisang bersalut keju ini tetap tinggi sehinggakan kehabisan stok pisang setiap hari.

“Kadang-kadang turut ada pelanggan
yang sanggup datang dari jauh demi menikmati goreng pisang keju yang saya jual,” katanya.

Menurut beliau, dia kini hanya menumpukan operasinya di tapak niaga sedia ada mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Setakat ini, kebanyakan pelanggan terdiri daripada warga Kuching sesuai dengan lokasi saya berniaga.

“Saya juga tidak menyediakan perkhidmatan hantaran kepada pelanggan kerana tenaga kerja tidak cukup mengurus tempahan yang banyak,” katanya lagi.

Mengulas pendapatan yang diperoleh, Jesca menjelaskan ia agak lumayan berbaloi dengan modal yang digunakan.

“Meskipun terdapat pelbagai cabaran pada masa ini, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk
terus maju dalam dunia perniagaan.

“Harapan saya agar pandemik Covid-19 yang melanda segera berakhir untuk memudahkan lagi urusan perniagaan berkembng dengan cepat,” katanya lagi.

Menurut Jesca, dia turut mempromosikan produk jualannya melalui media sosial untuk memudahkan pelanggan mengetahui menu yang ditawarkan setiap masa.

Bagi pelanggan yang meminati pisang goreng dan burger jualan Jesca, mereka dialu-alukan mengunjungi gerainya di Rumah Asap Tabuan Dayak.

Suara Sarawak