SEMASA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelbagai aktiviti dilakukan orang ramai untuk mengisi masa lapang mereka sepanjang duduk di rumah.
Antaranya mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bagi pelajar, mencuba resipi masakan baharu, berjahit, malah ada juga yang berkebun di halaman rumah masing-masing.
Aktiviti berkebun misalnya amat popular ketika ini kerana aktiviti sedemikian dapat dilakukan bersama-sama ahli keluarga.
Tanaman seperti bunga, buah-buahan mahupun sayursayuran apabila telah berbunga dan berbuah memberi kepuasan atas hasil titik peluh mereka yang berkebun.
Semasa PKP juga, kedai yang menjual benih, baja serta peralatan berkebun kerap dikunjungi orang ramai.
Seorang pengusaha barangan pertanian yang dikenali sebagai May berkata, sejak peralihan fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), orang ramai berpusu-pusu ke kedai menjual barangan pertanian.
May yang membuka kedai berdekatan dengan pasar Batu 7, Kota Sentosa memberitahu, kebelakangan ini, orang ramai banyak membeli baja, bunga, benih buah-buahan dan sayur-sayuran di kedainya.
“Selepas PKP, ramai yang datang ke sini kerana aktiviti berkebun dan menanam bunga sangat popular ketika ini.
“Mungkin kerana orang ramai berasa bosan duduk di rumah, mereka meluangkan masa dengan berkebun dan menanam bunga,” kata May kepada Suara Sarawak apabila ditanya mengenai aktiviti berkebun yang kian popular dalam kalangan orang ramai ketika ini.
Mengulas lanjut katanya, penjualan benih buah-buahan amat memberangsangkan kerana cuaca panas.
Kata Mei, ramai pelanggan membeli benih buah-buahan sejak April lalu berbanding pada awal tahun ini kerana musim tengkujuh.
Tambahnya, antara jualan yang paling laris ialah baja kompos serta tanah merah.
“Baja kompos serta tanah merah ini mendapat sambutan hangat daripada pelanggan kerana tanah yang lembut di
samping memberi manfaat kepada tanaman,” ujarnya.
Katanya, harga pasaran baja kompos ketika ini dijual belasan ringgit untuk satu beg manakala tanah merah pula dijual sekitar RM10 satu beg.
May turut mengakui, aktiviti bercucuk tanam yang popular dalam kalangan orang ramai ketika ini memerlukan dia bersaing dengan pengusaha lain.
Bagaimanapun katanya, ia merupakan persaingan yang sihat kerana ketika ini orang ramai bergiat aktif untuk
berkebun dan bercucuk tanam.