KUCHING: Permintaan ikan yang semakin meningkat, memberi hasil lumayan buat seorang pesara dan isterinya.
Liban Seka, 56, dan isterinya, Anti Engom mula berjinak-jinak dalam perniagaan ikan sejak tiga tahun yang lalu.
“Pada mulanya, saya dan isteri hanya menjual sayursayuran bagi menambah pendapatan.
“Selepas itu, kami mula mencari inisiatif lain bagi menampung keperluan harian.
“Akhirnya, kami nekad menjual ikan segar dan tidak sangka jualan ini mendapat sambutan orang ramai,” katanya kepada Suara Sarawak.
Bertapak di Pasar Tamu Betong, jualan mereka menjadi tumpuan penduduk berhampiran.
Tidak hanya menjual ikan, Liban dan isteri turut menjual sotong, ketam, ambal dan juga udang.
Liban dan isterinya juga sering membekalkan ikan segar di restoran berhampiran.
Ditanya akan modal yang dikeluarkan, Liban berkata mereka mengeluarkan modal sekitar RM2,000 sebulan.
“Kami biasanya mengambil bekalan ikan segar dari Lubok Antu, selain itu, kami berdua mendapatkan ikan di Pusa, Kabong, Meludam, Sebangan, Sadong dan Bintulu.
“Harga yang ditetapkan oleh pembekal biasanya ikut musim. Jika bukan musim, maka harga ikan sedikit meningkat,” katanya.
Liban turut mendedahkan hasil jualan ikan pada 2020 agak lumayan.
“Sewaktu fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hasil jualan kami sangat tinggi.
Dengan berniaga dari rumah ke rumah menjadikan jualan kami dikenali ramai.
“Dari situ, kami mempunyai pelanggan tetap dan mereka juga senang mendapatkan ikan tanpa pergi ke tempat jauh,” ujarnya.
Liban berkata keuntungan yang diperoleh mereka juga mampu mencecah RM3,000 hingga RM 5,000 sebulan.
“Kadang-kadang jualan untuk Ahad sahaja mencecah RM1,000 kerana hujung minggu ini banyak orang ke tamu,” tambahnya.
Bagi yang ingin mendapatkan ikan sungai dan laut yang segar, sila kunjungi di Pasar Tamu Betong, gerai D85.