Trending

Rezeki penjual belacan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Bekalan bubuk segar yang banyak, merancakkan lagi pembuatan belacan di Sarawak.

Muna Niru, 38, antara peniaga belacan yang meraih pendapatan begitu memberangsangkan.

Menurut Muna, dia mula menjual belacan pada 2016 ketika suaminya ditugaskan di Miri.

“Biasanya, saya dan suami membeli bubuk di Kampung Nelayan Batu 1, Miri iaitu lubuk penjualan bubuk segar.

“Selain itu, kami juga mencari bubuk yang dijual pada harga mampu milik.

“Dengan bekalan bubuk ini maka terhasillah belacan, air belacan dan juga cencaluk,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurut Muna, harga bubuk pada tahun ini sedikit menurun berbanding pada tahun lepas.

Untuk tahun ini, katanya bubuk hanya berharga RM10 untuk satu kilogram berbanding RM12 pada tahun lepas.

“Jadi, saya mengeluarkan modal sebanyak RM400 hingga RM600 termasuk membeli bekas untuk menyimpan belacan.

“Namun begitu, tahun ini kami terpaksa menaikkan sedikit harga belacan susulan harga barangan lain semakin meningkat,” ujarnya.

Muna turut menitikberatkan kebersihan dalam pembuatan belacan.

Jelasnya, proses penjagaan belacan semasa dijemur juga perlu teliti.

“Saya dan suami akan mencari inisiatif supaya belacan yang dijemur tidak dihinggap serangga seperti lalat,” jelasnya.

Selain mendapat permintaan di Sarawak, belacan Muna juga mendapat permintaan dari Semenanjung Malaysia.

Memandangkan belacan itu dihantar ke Semenanjung Malaysia, Muna berkata dia amat mementingkan pembungkusan kemas dan rapi.

“Hal ini dapat mengelakkan bungkusan belacan daripada pecah, rosak atau berbau.

“Syukur setakat ini tempahan ini sampai dengan selamat kepada pembeli,” katanya.

Dalam berniaga sudah pasti ada cabarannya, Muna turut tidak terkecuali.

Menurutnya ketika cuaca hujan proses penjemuran tidak dapat dilakukan dan melambatkan proses pembuatan belacan.

“Selain itu, wujudnya persaingan, namun kita harus selalu positif dan jangan berputus asa,” katanya lagi.

Ditanya hasil jualan belacan, Muna mendedahkan pendapatan belacan mampu mencecah RM3,000 sebulan.

“Pernah ada sekali hasil jualan saya mencecah RM 7,000 ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), itu merupakan pendapatan tertinggi bagi saya.

“Saya sangat bersyukur kerana walaupun hanya suri rumah tetapi masih dapat membantu suami untuk menambah sumber pendapatan,” katanya ketika mengakhiri perbualan.

Bagi yang berminat dengan belacan ini, tempahan dan pembelian dapat dibuat menerusi laman Facebook Muna Mun.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru