Rezeki si tukang jahit

MUKAH: Salah satu kemahiran utama yang tidak mati dalam tempoh pandemik Covid-19 ialah kemahiran menjahit baju.

Ini kerana, kemahiran menjahit mampu menjana pendapatan kerana ia suatu keperluan masyarakat.

Pemilik Rozie Khan Couture Roziman Han, 41 berkata, kemahiran menjahit amat penting kerana tukang jahit sentiasa menerima tempahan dan kerja menjahit boleh dilakukan di rumah.

Sehubungan itu katanya, seramai 20 peserta Bengkel Pola Asas Rozie Khan berjaya menamatkan kelas Bengkel Pola Asas Rozie Khan yang diadakan secara percuma di Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) Mukah.

“Kelas selama dua hari terdiri daripada suri rumah dan tukang jahit belajar membuat pola baju kurung Kedah moden, baju kurung moden, jubah dan sebagainya,” katanya.

Rozie berkata, melalui Bengkel Pola Asas Rozie Khan peserta dapat menimba kemahiran sekali gus menghasilkan baju yang lebih kemas dan cantik.

“Kelas di Mukah ini merupakan kelas kali keempat diadakan pada tahun ini.

Tiga kelas sebelum ini diadakan di Dalat dan diteruskan pada 2021.

“Kerjasama penganjuran masih diadakan bersama-sama pihak Pertubuhan Belia Parlimen Mukah,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.

Terdahulu Pengerusi Pertubuhan Belia Parlimen Mukah Royston Valentine menzahirkan penghargaan terima kasih kepada Rozie Khas kerana membuka kelas percuma untuk warga Mukah.

Sementara itu seorang peserta Mala Ismawi, 28 yang cukup mengagumi hasil kerja Rozie menzahirkan kesyukuran kerana berkesempatan menuntut ilmu jahitan.

“Walaupun kelas ini percuma, beliau tidak lokek berkongsi ilmu jahitan kepada kami.

“Saya harap agar lebih ramai lagi anak Sarawak mengikuti kelas ini. Kejarlah ilmu selagi mampu dan bukan menunggu ilmu untuk datang,” ujarnya.

Hamidah Laily pula berharap kelas yang diajarkan oleh Rozie dapat diteruskan pada masa hadapan.

Bagi tukang jahit Jamayah Abdullah, kelas tersebut banyak membantunya untuk meningkatkan kualiti baju yang dihasilkan di kedainya.

“Kepada belia dan remaja di Mukah rebutlah peluang ini dan semoga usaha sebegini melahirkan tukang jahit berkualiti pada masa hadapan. Terima kasih kepada Pertubuhan Belia Mukah dan Cikgu Rozie,” katanya.