LASHKAR GAH: Puluhan ribu penduduk di selatan Afghanistan melarikan diri dari kediaman mereka berikutan pertempuran sengit berlarutan beberapa hari lamanya antara Taliban dengan pasukan keselamatan.
Demikian menurut pegawai yang turut menyatakan kebimbangan tentang keganasan yang terus meningkat di sebalik rundingan damai yang berlangsung.
Pejuang Taliban melancarkan serangkaian serangan di bandar Lashkar Gah di wilayah bergolak Helmand pada Ahad malam, mendorong AS melancarkan serangan udara untuk mempertahankan pasukan Afghanistan.
Pertempuran itu mendesak penduduk tempatan melarikan diri dengan bersesak menaiki motosikal, teksi dan bas. Pengarah jabatan pelarian di Helmand, ayed Mohammad Ramin memberitahu AFP, lebih 5,100 keluarga atau 30,000 orang… melarikan diri setakat ini.
“Beberapa keluarga masih tinggal di jalanan di Lashkar Gah, kami tidak mempunyai khemah untuk diberikan kepada mereka,” katanya.
Seorang penduduk tempatan, Hekmatullah mengatakan dia terpaksa melarikan diri selepas rumah jirannya terkena mortar, membunuh dua wanita.
“Pertempuran begitu sengit sehingga saya tidak sempat mengambil pakaian. Saya hanya mengambil keluarga saya,” kata Attaullah Afghan, petani yang melarikan diri bersama 12 ahli keluarganya Pertempuran berlangsung di sekurang-kurangnya empat daerah pada Rabu, kata pegawai Afghanistan, sambil menambah bahawa pasukan keselamatan menangkis serangan Taliban berulang kali di kawasan itu.
Sementara itu, Misi Bantuan PBB di Afghanistan mengatakan ribuan penduduk melarikan diri dan meminta pejuang Taliban serta pasukan keselamatan “untuk mengambil semua langkah yang mungkin untuk melindungi orang awam, termasuk jalan selamat bagi mereka yang ingin meninggalkan” kawasan itu.
Berdasarkan perjanjian yang ditandatangani Taliban dengan Washington pada Februari, pemberontak tidak seharusnya menyerang kawasan bandar dan berusaha untuk menghentikan keganasan.