Rindu tunggang motosikal, 25 individu kena kompuan rentas daerah tanpa kebenaran

KUCHING: Gara-gara berhasrat untuk melepaskan gian kerana sudah lama tidak menunggang motosikal, 25 orang penunggang motosikal dikompaun kerana melintasi daerah Simunjan dari Kota Samarahan tanpa kebenaran polis Selasa lalu.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar kesemua penunggang motosikal terbabit telah ditahan di Kilometer 1, Jalan Tun Openg, Simunjan sekitar jam 2 petang.

“Hasil pemeriksaan oleh pasukan Snap Check Pemantauan PKPB, mendapati mereka berasal dari Kota Samarahan, dan mereka gagal memberi alasan yang munasabah kerana telah masuk ke daerah Simunjan untuk ke Kampung Nanas tanpa menunjukkan surat kebenaran polis.

“Difahamkan juga di antara yang terlibat sama ialah salah seorang seorang anggota polis dari IPD Kota Samarahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi kesemua mereka semua telah dibawa ke Balai Polis Simunjan untuk dikompaun kerana telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

“Setelah itu kesemua mengaku kerana telah hanya bersiar-siar dengan menunggang motosikal dari Kota Samarahan ke Simunjan kerana sudah lama tidak menunggang motosikal.

“Selesai urusan mengeluarkan kompaun, mereka semua diarahkan balik ke Kota Samarahan melalui Jambatan Sadong,” katanya.

Sebelum ini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah menetapkan walaupun sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan, setiap prosedur standard operasi (SOP) perlu dipatuhi khasnya untuk individu yang ingin rentas daerah perlu mendapatkan kebenaran polis dengan mempunyai alasan yang kukuh.

25 penunggang motosikal dari Kota Samarahan dikompaun gara-gara kerana melintas daerah tanpa kebenaran dari pihak polis selasa lalu.