MUKAH: Dua ratus pelajar Politeknik Mukah (PMU) daripada golongan keluarga B40 menerima sumbangan bungkusan makanan dalam Program Jalinan Ukhuwah Ramadan Gerakan Pengguna Siswa, di dewan kuliah utama PMU. Program ini adalah anjuran Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, PMU dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Mukah bertemakan ‘Siswa Prihatin, Pengguna Terjamin’.
Menurut kenyataan PMU, tujuan utama sumbangan ini adalah untuk pelajar berbuka puasa di samping membantu golongan pelajar mendapatkan bekalan makanan. “Ini sekali gus untuk meringankan kos sara hidup mahasiswa yang makin meningkat pada masa sekarang. “Sementara berlangsungnya acara penyerahan bungkusan makanan tersebut, Timbalan Ketua Cawangan KPDN Mukah Mohamad Rizal Sehe telah menyampaikan ceramah bertajuk Hak-hak Sebagai Pengguna,” katanya.
Simbolik Penyerahan juga disampaikan oleh Mohamad Rizal disaksikan oleh Timbalan Pengarah Akademik Iskandar Reduan dan Pegawai Hal Ehwal Pelajar Hardyta Bujang Pata. Sehubungan itu, pihak KPDN Mukah berharap program ini dapat dilaksanakan secara berterusan bagi mencapai sasaran iaitu lebihan makanan diagihkan kepada golongan yang memerlukan. Bukan itu sahaja, daripada program ini, pelajar dapat menjimatkan wang untuk perbelanjaan lain. Pengarah Program Jalinan Ukhuwah Ramadan Gerakan Pengguna Siswa Nurul Fatihah Ahmad turut hadir.