Ringankan beban rakyat

BANTUAN Khas Sarawakku Sayang 5.0 yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Khamis, segelintirnya menjadi keluhan rakyat.
Menggariskan 11 langkah, teras kehidupan kita semua seperti diskaun demi diskaun seperti bil air dan bil elektrik selama enam bulan bagi meringankan beban rakyat hingga industri perhotelan turut diberi perhatian.
Industri hotel diakui terkesan semasa pandemik memandangkan tiada temasya dan keramaian menghadirkan pelancong di dalam dan luar negara bertandang menyebabkan sumber pendapatan tenat.
Langkah bijak Kerajaan Sarawak menjadikan hotel di seluruh negeri sebagai pusat kuarantin menjadikan industri itu turut bergerak menjana pendapatan daripada kerajaan sendiri bagi penulis adalah satu kitaran ekonomi terancang waima tidak rancak oleh industri pelancong seperti sebelum wabak membunuh wujud sebelum ini.
Berbalik kepada langkah yang menarik perhatian penulis daripada peniaga pasar malam dikecuali membayar sewa tapak hingga usahawan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) direhatkan membayar pinjaman selama enam bulan.
Peniaga kecil yang berdaftar dengan PBT dikecualikan bayaran permit dan lesen perniagaan dan pada masa yang sama meneruskan pengecualian bayaran sewa kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di premis perniagaan milik badan berkanun dan syarikat milik kerajaan negeri (GLC).
Tidak cukup dengan itu, pengecualian cukai pintu dan premium tanah turut disantuni Kerajaan Sarawak untuk melihat rakyat mampu tersenyum sekiranya keadaan mendesak kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 seperti negeri lain sekarang ini.
Duit untuk kita melunaskan cukai pintu dan premium tanah itu mampu disimpan atau dijimatkan bagi memenuhi keperluan yang lebih mustahak iaitu menyediakan hidangan di atas meja makan untuk keluarga andai PKP dikuat kuasa; firasat penulis sahaja.
Namun langkah itu seolah-olah tidak memadai bagi rakyat kita.
Tidak semuanya, segelintirnya menghentam kerajaan di ruang media sosial dengan jeritan Kerajaan Sarawak tidak memahami isi hati rakyat.
Kebanyakan suara diluah melalui coretan – kami mahu BKSS diberikan bantuan khas tunai seperti BKSS sebelum ini.
Diakui penulis, pengumuman pemberian bantuan khas tunai seperti yang dilaksanakan dalam pakej BKSS terdahulu ada kewajarannya, namun orang ramai perlu menyelami betapa nikmatnya kita sebagai rakyat Sarawak mampu berjimat selama enam bulan melalui pakej BKSS 5.0 kali ini.
Diskaun bil air dan diskaun bil elektrik sudah memadai.
Setelah diskaun peratusan berkenaan yang menjadi milik kita sendiri sedangkan pada dasarnya ia seharusnya kembali kepada kerajaan.
Dilihat semula diskaun bil elektrik bulanan (5 hingga 25 peratus) akan memanfaatkan kira-kira 642,000 isi rumah seluruh Sarawak manakala diskaun bil air bulanan – 10 hingga 25 peratus dinikmati lebih 568,000 isi rumah.
Betapa murninya hasrat kerajaan bagi penulis untuk membantu rakyat supaya tidak terbeban setelah hampir setahun mengubah lumrah hidup kepada amalan norma baharu yang masih janggal namun terpaksa disebatikan di dalam diri.
Mereka berkeluh rata-rata golongan berpendapatan rendah kumpulan B40 yang beranggapan bantuan tunai lebih nampak dilihat kerana bantuan itu merupakan wang menambah kekurangan dan mengisi keperluan untuk melangsungkan hidup.
Ada yang beranggapan bantuan secara tunai amat diperlukan oleh rakyat yang bekerja dalam sektor swasta kerana ramai terkesan dengan pengurangan gaji atau kehilangan pekerjaan akibat Covid-19 ini.
Terdahulu, sidang media khas pada Khamis, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak memutuskan membantu rakyat pada keseluruhannya menerusi beberapa pendekatan penting meringankan beban rakyat meneruskan kehidupan seharian.
Tegas Abang Johari dalam keadaan yang sukar sekarang ini, Kerajaan GPS sentiasa memikir dan melaksanakan langkah terbaik membantu rakyat.
Untuk kali ini Abang Johari menyimpan harap pakej berjumlah RM405 juta membantu meringankan beban seluruh rakyat Sarawak hingga Jun nanti.
Justeru, Abang Johari juga meminta rakyat mendoakan penularan Covid-19 dapat diatasi pada Jun 2021.
Bagi penulis, kita perlu bersama-sama bersatu memerangi penularan dan melandaikan semula lekuk pandemik ini.
Mungkin pada masa akan datang BKSS akan ditambah baik untuk kita semua tersenyum ada tunai lebih ditangan.

Suara Sarawak