RM1.398 bilion untuk skim RES tahun hadapan

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1.398 bilion di bawah skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Sarawak (RES) untuk tahun hadapan.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan tersebut disalurkan di bawah Inisiatif Pembiayaan Alternatif Negeri.

“Perkara ini selaras dengan matlamat Kerajaan Sarawak untuk memastikan seluruh pelosok negeri ini tidak ketinggalan dalam pelbagai program elektrik yang sedang dilaksanakan.

“Selain itu, ia juga untuk menyelesaikan isu mengenai penyampaian dan liputan perkhidmatan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Sarawak 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini, hari ini.

Tambahnya, penduduk di kawasan luar bandar juga akan menikmati bantuan untuk penyambungan bekalan elektrik ke rumah masing-masing yang dilaksanakan melalui Dana Pemohon Lewat Tambahan (Alaf) dan Skim Pendawaian Berbantu (AWS).

Dalam hal berkaitan, Abang Johari memberitahu kerajaan juga akan meneruskan bantuan untuk penyambungan elektrik ke rumah untuk penduduk di kawasan bandar pada tahun hadapan.

“Ia dilaksanakan melalui Connection Charges Government Financial Assistance (CCGFA) dengan peruntukan sebanyak RM2.3 juta di bawah Bajet ini,” jelasnya.

Suara Sarawak