RM100 juta perkasa JKKK

KUCHING: Berita baik untuk Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk membantu penganjuran aktiviti pertubuhan itu tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan yang disalurkan itu adalah untuk bayaran elaun mesyuarat dan bulanan kepada pengerusi serta setiausaha JKKK.

“Pemberian peruntukan ini membuktikan Kerajaan Sarawak mengiktiraf peranan JKKK sebagai pemimpin akar umbi yang menjaga keselamatan dan kemakmuran kampung.

“Ia sekali gus menyumbang kepada perpaduan dan kesejahteraan dalam komuniti setempat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, JKKK perlu memantapkan lagi pengurusan sejajar dengan perubahan semasa selain lebih proaktif melaksanakan aktiviti untuk manfaat dan kepentingan masyarakat.