Trending

RM1,000 melayang begitu sahaja

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

SIBU: Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh bimbang dengan sikap segelintir warga Sibu yang tidak menghiraukan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan ketika berada di premis makanan.

Kebimbangan beliau berikutan operasi pemantauan SOP oleh polis MPS pada malam Jumaat lalu yang menyaksikan lapan individu termasuk pekerja dan pemilik premis makanan dikompaun RM1,000 kerana mengingkari SOP yang ditetapkan.

“Kita juga kesal dengan sikap segelintir individu yang masih mengabaikan SOP.

“Ini menunjukkan tahap kesedaran mereka terhadap arahan kerajaan masih kurang lebih-lebih dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 ini.

“Setiap meja yang disediakan di kedai kopi, kedai makan mahupun kafe hanya untuk dua dan tiga orang mengikut saiz meja.

Peringatan sudah diberikan, kenapa kita boleh ingkar?

“Pengusaha juga telah diingatkan agar menyediakan alat pemeriksa suhu yang berfungsi serta menyediakan cecair pensanitasi tangan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau merayu penduduk setempat serta pengusaha kedai makan dan minuman supaya memastikan SOP yang ditetapkan sentiasa dipatuhi.

Menurutnya, orang ramai atau pengusaha tidak boleh menyalahkan pihak berkuasa atas kompaun yang dikenakan kerana ia tanggungjawab mereka untuk memastikan SOP sentiasa dipatuhi. “Semasa pergi ke kedai makan, kalau satu keluarga itu mempunyai lebih daripada lima orang, duduklah di meja berasingan bagi memudahkan penjarakan fizikal.

“Contohnya, tiga orang duduk di meja lain dan dua atau tiga orang lagi duduk di meja lain.

Ini kerana undang-undang (kompaun) ini tidak mengenal ahli keluarga.

“Sesiapa sahaja yang didapati duduk di meja melebihi had yang ditetapkan akan dikenakan kompaun,” tegas beliau.

Sehubungan itu, Ting turut mengingatkan pengusaha kedai makan agar menasihati pelanggan (ahli keluarga ramai) supaya duduk berasingan.

“Di rumah anda boleh makan di satu meja yang besar tanpa perlu mengamalkan penjarakan fizikal tetapi di luar tindakan sebegitu tidak boleh,” tegas beliau.

Melalui pengamatannya, kebanyakan individu yang dikompaun sejak akhir-akhir ini disebabkan duduk beramai-ramai di satu meja (melebihi tiga orang) tanpa penjarakan fizikal.

Selain itu katanya, tidak menggunakan pelitup muka juga antara penyumbang kedua mereka dikompuan.

“Saya mengingatkan warga Sibu agar mengambil berat tentang apa-apa yang saya sebutkan tadi.

Elakkan mengulanginya agar anda tidak dikompaun.

“Bayangkan RM1,000 melayang begitu sahaja atas kesalahan yang boleh anda elakkan.

“Bersama-samalah kita menghindari kesalahan tersebut agar kita tidak rugi, selain untuk keselamatan sendiri,” tambah beliau lagi.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

7 December 2023

Berita Terbaru