Trending

RM10,000 ringankan beban rakyat

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

BARU-BARU ini, bekas Perdana Menteri Datuk Najib Razak mencadangkan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar membenarkan pencarum untuk mengeluarkan maksimum RM10,000 bagi mengharungi cabaran kehidupan ketika wabak Covid-19.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pekan itu juga pernah mencadangkan kerajaan untuk membenarkan pencarum mengeluarkan wang dari akaun 2 KWSP sebagai salah satu usaha membantu rakyat dan merancakkan ekonomi domestik.

Cadangan beliau disambut kerajaan dan dilaksanakan sebagai program i-Lestari dalam Pakej Prihatin.

Cadangan pengeluaran secara one-off RM10,000 itu dilihat dapat membantu mengurangkan risiko pemberhentian pekerja dalam sektor tertentu, seperti pelancongan, penerbangan, perhotelan, pendidikan swasta dan perkhidmatan yang terjejas teruk akibat Covid19.

Malah, kemudahan tunai ini juga membolehkan golongan terjejas untuk memulakan kegiatan bagi meneruskan kehidupan dan kesejahteraan mereka.

Ketika ini terdapat 740,000 penganggur di negara ini dengan kadar pengangguran meningkat, daripada sekitar tiga peratus kepada 5.4 peratus.

Selain Najib, cadangan pengeluaran akaun satu caruman KWSP antara 130 syor yang dikemukakan Umno kepada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk Belanjawan 2021.

Syor berkenaan disampaikan empat wakil Umno, diketuai Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti itu, Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Kementerian Kewangan Malaysia.

Ahmad dipetik sebagai berkata, pengeluaran Akaun Satu caruman KWSP merupakan cadangan yang popular dalam kalangan rakyat terutamanya bagi mereka yang tertekan akibat penularan Covid-19.

Bagaimanapun, cadangan tersebut mendapat reaksi berbeza daripada presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menyifatkan pengeluaran caruman akaun satu KWSP sebagai melanggar objektif untuk menjadikannya sebagai ‘aset’ selepas bersara, selain berpotensi memberi implikasi buruk ketika persaraan.

Dalam pada itu, untuk melihat negara kembali pulih dari segi ekonomi, kerajaan perlu memperhalusi cadangan itu lantaran pandemik Covid-19 dilihat semakin mengganas menyebabkan kadar pengangguran kian meningkat dan rakyat yang terjejas akibat wabak halimunan ini semakin menderita akibat kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan.

Jika diamati, kuasa membeli rakyat kini semakin berkurangan, kekurangan pelancong asing menyebabkan industri pelancongan, perhotelan termasuk penerbangan juga terjejas teruk.

Sekiranya, kerajaan tidak akur kepada cadangan pengeluaran secara “one off” akaun satu KWSP itu, maka tidak mustahil akan menyumbang kepada peningkatan kes jenayah terutama ragut, samun atau bunuh diri.

Senario ini tidak dapat dinafikan ekoran desakan hidup akibat penularan Covid-19 yang menyebabkan ramai kalangan masyarakat hilang pekerjaan, sekali gus mengundang kepada keruntuhan moral.

Kini, terpulang kepada budi bicara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengkaji serta memperhalusi cadangan itu.

Penulis yakin Tok Abah memahami penderitaan yang terpaksa ditanggung anak-anak dan cucunya. Untuk rekod, sebelum ini, pihak kerajaan telah memperkenal Skim i-Lestari KWSP di bawah pakej prihatin, iaitu dalam tempoh lima bulan, dari April hingga Ogos lalu, sebanyak 4.57 juta pencarum telah diluluskan untuk kerajaan yang membenarkan pengeluaran bulanan dari akaun 2 KWSP.

Jumlah pengeluaran iLestari ialah RM7.48 bilion.

Bersama kita berdoa agar ada cahaya semasa perbentangan Bajet 2021 kelak dan semoga pandemik Covid-19 ini segera berlalu supaya kita semua dapat meneruskan aktiviti kehidupan sebelum ini.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

Misi capai sifar karbon

SARAWAK mengutamakan pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar,

Buli haiwan sangat kejam

SEBELUM ini, ada cadangan penubuhan agensi Polis Haiwan bagi menangani kes berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru