
FOTO GHAZALI BUJANG
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM14.8 juta untuk pembangunan taman agro bagi tahun 2023.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan tersebut adalah untuk menyiapkan kerja awal bagi kemudahan pertanian di taman agro Sg Baji dan taman agro Parit Bugis.
“Setakat ini, tiga projek taman agro iaitu Sg Baji Sarikei, Asajaya Samarahan dan Parit Bugis Sarikei berada di bawah pelbagai peringkat pelaksanaan.
“Lima kawasan juga telah dikenal pasti untuk taman agro termasuk Bebuling dan Lubok Taman di Bahagian Betong, Lubok Ipoi-Lubok Trenggas dan Gedong-Semelatong di Bahagian Samarahan dan taman agro Simanggang di Bahagian Sri Aman yang kebanyakannya untuk tanaman padi,” katanya ketika membentang Belanjawan Sarawak 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sejumlah RM5 juta telah diluluskan untuk menaik taraf dan mengekalkan tujuh Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) bagi memastikan pengeluaran berterusan makanan untuk memenuhi permintaan domestik.
Selain itu katanya, tiga TKPM baharu di Kubong, Sg Sebiew dan Tunoh telah diluluskan dan akan dilaksanakan pada tahun 2023 dengan peruntukan RM1.5 juta.