RM15,000 diluluskan untuk baik pulih Surau Rayu Melayu

LUNDU: Sebanyak RM15 ribu diluluskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) N3 Tanjong Datu, YB Datin Patinggi Datuk Amar Hajah Jamilah Hj Anu untuk baik pulih Surau Darul Ibadah Kampung Sungai Rayu Melayu hari ini.

Pengumuman itu dibuat ketika menghadiri majlis Tahlil pasangan suami isteri iaitu keluarga Allahyarham Abdul Halim bin Abdullah dan Allahyarhamah Rosemary binti Sadan yang kemalangan dan meninggal dunia pada 9.8.2020 (Ahad) lepas dan meninggalkan tujuh orang anak.

Beliau yang hadir sendiri menyampaikan sumbangan peribadi dan sumbangan daripada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Lundu (LAKIL) kepada keluarga malang itu berpendapat keselesaan para jemaah untuk menunaikan ibadah menjadi keutamaan beliau.

Di samping itu surau dan masjid juga dapat di jadikan tempat untuk mengadakan majlis perkahwinan, tahlil dan sambutan Maulidur Rasul serta Awal Muharam.

Hadir sama, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Ketua Menteri Sarawak, Haji Helmi bin Hazemi. Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Puan Norashikin Brahim dan Ketua Pergerakan Pemuda PBB N3 Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Haji Adenan serta AJK Surau Darul Ibadah.

Suara Sarawak