RM150,000 naiktaraf Masjid Al Falah Sungai Gemuan

BINTANGOR: Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM150,000 bagi menaiktaraf Masjid Al Falah Sungai Gemuan.

Perkara itu diumumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.46 Meradong, Datuk Ding Koung Hiing ketika menghadiri
rogram Kesyukuran Sempena Hari Raya Aidil Adha Di Masjid Al-Falah, Sungai Gemuan baru-baru ini.

Pada masa yang sama beliau turut menyampaikan sumbangan RM2,000 bagi membantu penganjuran program berkenaan.

“Kerja menaiktaraf masjid dan tandas dilaksanakan awal tahun depan. Saya berharap kerjasama penduduk setempat bagi memastikan projek ini berjalan lancar,”katanya.

Dalam ucapan, beliau berkata, program berkenaan berperanan penting sebagai platform untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan penduduk.

Menurutnya, perpaduan merupakan asas penting yang mampu menyumbang kepada kemajuan.

Antara penduduk yang hadir memeriahkan program.

“Pembangunan Sarawak pada hari ini kerana wujudnya perpaduan. Oleh itu, saya mahu masyarakat terutama golongan muda menghargai, menghayati dan mempertahankannya.

“Sarawak  kekal unik melalui semangat kerjasama dan konsep toleransi yang wujud dalam kalangan penduduknya. Malah keunikan itu terserlah ketika sambutan perayaan apabila diraikan dalam suasana harmoni dan muhibbah.

“Oleh kerana itu, manfaatkanlah sambutan Aidiladha  sebagai platform untuk merapatkan lagi hubungan sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, Ding mahu rakyat terus memberi sokongan padu kepada Kerajaan Sarawak di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi kelangsungan pembangunan.

“Hanya GPS memahami masalah rakyat Sarawak termasuk penduduk di luar bandar,” ujarnya.

Hadir sama Ketua Kampung Sungai Gemuan, Rabaie Mat.

Ding bersama sebahagian belia yang menjayakan program Ramah Tamah Aidiladha, Sungai Gemuan.

Suara Sarawak