RM18 bilion untuk pelaksanaan Projek Bekalan Air Sarawak di dalam RMK-12

KUCHING: Sejumlah RM18 bilion diperuntukan kepada Kementerian Utiliti di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi melaksanakan pelbagai projek mega bekalan air di seluruh Sarawak.

Menterinya Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, peruntukan besar tersebut adalah untuk memastikan negeri ini berjaya mencapai sasaran menyediakan bekalan air bersih 100 peratus menjelang tahun 2025.

“Kementerian saya di dalam RMK-12 mempunyai banyak projek mega penting berkaitan bekalan air yang dicadangkan serta akan dilaksanakan di seluruh negeri terutamanya luar bandar.

“Peruntukan tersebut akan mula digunakan pada tahun 2021 dan ia merangkumi Pelan Induk Sistem Bekalan Air Sarawak, Program Sistem Grid Air Sarawak yang menyambungkan paip kepada komuniti serta pelaksanaan Alternatif Sarawak (Sawas).

“Selian itu, kementerian juga akan melaksanakan satu program pengurusan air tanpa hasil (NRW) yang menyeluruh bagi mengurangkan kadar NRW kepada 25 peratus di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Utiliti dengan Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (Sarawak Skills) di sini, hari ini.

Menurutnya, di bawah RMK-11, Kerajaan Sarawak meluluskan sejumlah RM6.1 bilion untuk 704 projek berkaitan bekalan air untuk dilaksanakan di seluruh negeri.

“Setakat ini 55 peratus projek tersebut telah siap sepenuhnya, manakala baki 45 peratus lagi masih dalam pelbagai fasa pelaksanaan,” jelasnya sambil menambah liputan bekalan air bersih di Sarawak pada masa ini sekitar 84.1 peratus.

Mengulas mengenai MOU itu, katanya ia merupakan pencapaian bagi kementeriannya dalam usaha meningkatkan jumlah tenaga kerja mahir dan berkelayakan dalam pemasangan serta penyelenggaraan paip susulan pelaksanaan pelbagai projek bekalan air di bawah RMK-12.

Suara Sarawak