PUSA: Masjid baharu Kampung Semarang akan ditender hujung bulan ini agar kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan pada penghujung tahun.
Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, keperluan terhadap sebuah masjid baharu di Kampung Semarang sangat mendesak ekoran Masjid Darul Ihsan yang roboh dibadai ombak kuat.
“Kelulusan reka bentuk dan pelan bangunan masjid baharu diluluskan di tapak baharu.
“Mengikut perancangan pihak perunding, tender akan dibuat pada penghujung November dan kerja pembinaan dijangka bermula akhir tahun ini.
“Bagaimanapun, maklumat terperinci tentang reka bentuk dan proses kerja akan dibincangkan secara lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Masjid/Surau Majlis Islam Sarawak (MIS) pada Rabu,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.
Seperti dimaklumkan oleh MIS, beliau memaklumkan bahawa kerajaan akan membina masjid baharu tersebut di tapak seluas lima ekar dengan kos RM2.5 juta.
Menurutnya, secara dasar ia telah mula diusahakan awal tahun dan dijangka siap hujung 2022.
Dr Abdul Rahman dalam pada itu menyambut baik keputusan MIS yang membenarkan Surau an-Nur berfungsi sebagai masjid sementara bagi memastikan sebarang aktiviti keagamaan termasuk solat berjemaah khususnya solat Jumaat dapat diteruskan seperti biasa.
Mengenai keputusan meroboh Masjid Darul Ihsan sepenuhnya beliau menambah, ia terpulang kepada perbincangan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Pegawai Agama Islam Bahagian Betong.
Bagi isu kubur lama, kerajaan telah menyediakan sebidang tanah seluas 10 ekar di Sablor Land District sebagai tanah perkuburan berpusat baharu untuk Kampung Maludam, Spinang dan Semarang.