SIBU: Gara-gara kemaruk cinta dengan seorang lelaki Perancis secara maya, seorang wanita mengalami kerugian sebanyak RM20,000 setelah terpedaya dengan janji manis suspek.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa mengenali suspek melalui media sosial, Instagram.
Jelasnya, mangsa berusia 43 tahun merupakan seorang penyelia asrama mula mengenali suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai Ahmad Zulhilmi yang kononnya berasal dari Perancis pada Mei lalu.
Katanya, sejak itu mereka saling berhubung melalui aplikasi WhatsApp dan suspek menggunakan nombor dari negara tersebut untuk menyakinkan mangsa.
“Mangsa kemudian jatuh hati dengan suspek seterusnya menjalinkan hubungan cinta secara maya.
“Suspek juga berjanji untuk mengahwini mangsa bagi menawan hatinya sebelum mengatur rancangan seterusnya untuk memperdayakan mangsa,” ujar beliau.
Menurutnya lagi, suspek kemudian meminta mangsa memasukkan wang ke akaunnya untuk membeli sebuah kereta namun jenamanya tidak dinyatakan.
“Demi cintanya, mangsa tanpa rasa curiga telah membuat pindahan wang ke dalam akaun suspek di sebuah bank bertempat di Jalan Kampung Datu sekitar jam 12 tengah hari pada Khamis lalu.
“Mangsa telah melakukan lima transaksi membabitkan wang berjumlah RM20,000 ke akaun CIMB Bank yang didaftarkan atas nama suspek sendiri,” kata beliau.
Stanley berkata, pada jam 7.52 malam hari sama, mangsa dihubungi suspek memaklumkan wang yang dipindahkan mangsa tiada di dalam akaunnya kerana akaun berkenaan disekat oleh pihak bank.
Jelasnya, mangsa mula merasakan sesuatu yang tidak kena dan menyedari dirinya diperdayakan apabila suspek memintanya untuk membuat pindahan semula wang ke dalam akaun yang sama.
Beliau menambah, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Sibu pada Jumaat.