ASAJAYA: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM250,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi membina tempat letak kereta dan kerja pembesaran dewan di Kampung Sampun Gerunggang, di sini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, Kampung Sampun Gerunggang tidak terlepas daripada rancangan pembangunan yang telah diatur seperti pembesaran jalan kampung, pembinaan jambatan, naik taraf dewan dan sebagainya.
Justeru katanya, peruntukan ini diberi kepada kampung ini bersempena sambutan Gawai Dayak.
“Kawasan Sebuyau, Muara Tuang, Asajaya, Stakan, Simunjan dan Gedong sedang giat melaksanakan pembangunan yang dirancang oleh Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) bersama agensi pelaksana lain.
“Oleh itu saya berharap agar projek pembangunan yang telah diluluskan dan dirancang dapat memanfaatkan penduduk kampung serta meningkatkan pendapatan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Gawai Dayak Segulai Sejalai Daerah Asajaya 2023 di Kampung Sampun Gerunggang di sini, malam kelmarin.
Mengulas mengenai Majlis Gawai Dayak berkenaan, ADUN Asajaya itu berkata bahawa sambutan Gawai Dayak mampu memupuk semangat perpaduan dan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat Sarawak yang berbilang kaum.
Di kawasan Asajaya katanya, pelbagai masyarakat majmuk yang tinggal di sini dan bangsa Melayu, Iban serta Cina dapat menyambut perayaan bersama-sama.
“Ini merupakan keindahan negeri Sarawak dari segi perpaduan kaum dan akan memudahkan pembangunan yang telah dirancang oleh kerajaan negeri.
“Walaupun berbilang bangsa, kita masih dapat duduk bersama untuk berbincang dalam menyelesaikan masalah kawasan dalam perundingan bersama,” jelasnya.
Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Manca Ata, Timbalan Residen Bahagian Samarahan Annuar Daan, Pegawai Daerah Asajaya Rais Ahmat serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bahagian Samarahan.