
KUCHING: Sejumlah RM28 juta akan diperuntukkan pada tahun depan untuk penyelenggaraan bangunan Kerajaan Sarawak termasuk pejabat dan kuarters, khususnya di kawasan luar bandar, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Selain itu, katanya turut diperuntukkan tambahan RM167 juta untuk menaik taraf bangunan sedia ada dan pembinaan baharu.
“Kerajaan Sarawak komited untuk menyediakan persekitaran kerja yang kondusif untuk kesejahteraan perkhidmatan awam Sarawak,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2023 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Sementara, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak sedang mengambil pelbagai langkah untuk mengukuhkan keselamatan dan menjaga kedaulatan sempadan negeri ini, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata pihaknya telah meminta Kerajaan Persekutuan menambah baik usaha kawalan sempadan Sarawak-Kalimantan dengan menambah lebih ramai anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan anggota tentera terutamanya di beberapa kawasan ‘hotspot’ yang pergerakan pendatang tanpa izin agak berleluasa.
“Inisiatif keselamatan kami termasuk melengkapkan agensi penguatkuasaan sempadan Sarawak dengan ATV (All- Terrain Vehicles), dron dan peralatan telekomunikasi untuk memudahkan pasukan keselamatan mengawal sempadan kita,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata tahun depan, sejumlah RM23 juta akan diperuntukkan untuk Pengawal Pantai Sarawak menangani pencerobohan kapal nelayan asing dan tempatan serta melindungi sumber marin di wilayah pantai Sarawak.
Katanya di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, jumlah nilai skim RM388 juta telah diluluskan untuk pembinaan 15 unit aset dan kompleks pejabat Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak di Sejingkat, Tanjung Manis, Bintulu dan Lawas.



