RM2,813,242.71 nilai rampasan oleh KPDNHEP yang menghasilkan kompaun sebanyak RM237,000.

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) Sarawak melakukan rampasan berjumlah RM2,813,242.71 dan mengeluarkan kompaun sebanyak RM237,000 hasil daripada 901 pemeriksaan premis perniagaan sejak 1 Januari hingga 11 November lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) Sarawak, Datuk Stanley Tan berkata, KPDNHEP telah melaksanakan pemeriksaan ke atas 56,404 premis perniagaan yang meliputi kawasan luar bandar.

“Pemantauan dan pemeriksaan itu juga dilakukan setiap hari oleh 178 orang pegawai penguat kuasa dan 102 pegawai pemantau harga di seluruh cawangan KPDNHEP Sarawak.

“Tambahan pula, sempena perayaan Hari Deepavali dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak kita mengambil inisiatif dan tindakan pro-aktif dengan membuat pemantauan dan pemeriksaan kedudukan bekalan barang-barang keperluan di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman meliputi seluruh rantaian pengedaran dan pembekalan barangan serta perkhidmatan di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media sempena Lawatan Perlaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali(DV) 2020 di Pasar Raya Mydin, Petra Jaya, hari ini.

Tambahnya, pihaknya mendapati tiada situasi pembelian panik berlaku dan hasil pemeriksaan mendapati bekalan barang keperluan seperti makanan dan keperluan asas adalah mencukupi dan mudah diperolehi di seluruh Sarawak.

Stanley juga menggalakkan peniaga menjual barangan harga terkawal pada harga yang lebih rendah daripada harga kawalan maksimum sekiranya barangan tersebut diperolehi pada harga yang rendah atau peniaga mengurangkan margin keuntungan mereka.

Tegasnya, tindakan akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Tindakan tegas juga akan dikenakan sekiranya peniaga gagal meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu.

“Ini kerana, kerajaan mewajibkan tanda harga merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakannya dengan harga barangan yang lain,” ujarnya.

Pengurus Cawangan Sarawak Mydin Mohamed Holding Berhad Rethnasamy Naidu Krishnan(kanan) memberi penerangan kepada Datuk Stanley Tan dan beberapa pegawai yang hadir.

Suara Sarawak