ARTIKEL

RASMI SUDAH...Larry memukul gong simbolik merasmikan Majlis Makan Malam Mantar Gawai Dayak anjuran PIBG SK Ulu Entaih

RM35,000 untuk ganti paip graviti lama

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PAKAN: Sejumlah RM35,000 telah diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Entaih bagi membeli dan menggantikan batang paip graviti lama sekolah tersebut untuk kegunaan seharian mereka.

Perkara tersebut telah diumumkan oleh Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien sempena Majlis Makan Malam Mantar Gawai Dayak anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

“Saya difahamkan bahawa sekolah ini masih menggunakan batang paip graviti yang lama dan dianggarkan lebih kurang 30 tahun sudah diguna.

“Malah paip ini sering kali mengalami masalah seperti kebocoran, putus dan sebagainya.

“Maka saya telah mengumumkan sejumlah peruntukan kepada pihak sekolah bagi kegunaan mereka menukar dan menyelesaikan permasalahan tersebut,” ujar Larry.

Tambah Larry lagi yang merangkap Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), beliau telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM26,000 untuk baik pulih astaka dan membeli set kelengkapan alat siar raya sekolah berkenaan.

“Segala sumbangan yang saya berikan sememangnya untuk membantu pihak sekolah dan saya berharap sumbangan yang diberikan dapat meringankan sedikit sebanyak beban mereka,” ujarnya.

Di samping itu juga, Larry turut meniktikberatkan pelajaran untuk anak-anak Julau agar sentiasa fokus menimba ilmu.

“Saya amat menekankan bidang pendidikan sebab ini sahaja jalan yang terbaik untuk mengubah kehidupan kita walaupun kita di kawasan pedalaman.

“Saya juga menyeru anak watan Julau yang telah berjaya, baliklah ke Julau untuk menyumbangkan idea dan tenaga bagi membangunkan Julau,” tegas Larry.

Dalam ucapannya juga, Larry turut menyentuh mengenai arus telekomunikasi di kawasan Sk Ulu Entaih yang telah siap dipasang Starlink.

Katanya, kemudahan tersebut akan membantu pelajar dan guru untuk berhubung serta menggunakan perkhidmatan internet.

“Saya berusaha sebaik mungkin menggalas amanah dan mandat rakyat Julau untuk membangunkan Julau dan berharap Julau tidak tertinggal dalam aspek pembangunan,” terang Larry.

Di kesempatan itu juga, beliau mengucapkan Selamat Hari Gawai Dayak kepada seluruh rakyat Julau.

TERIMA KASIH DATUK…Larry menerima cenderamata penghargaan pada majlis tersebut
Larry ketika berucap pada majlis makan malam

BERITA LAIN

BERITA TERBARU