IPOH: Seorang pengarah syarikat kempunan pulangan pelaburan RM1.06 juta, bahkan berputih mata apabila wang yang dilaburkan hampir RM350,000 lesap akibat ditipu sindiket pelaburan tidak wujud.
Mangsa lelaki berusia 58 tahun dari Taman Pinji Seni terjerat dalam penipuan itu selepas berkenalan dengan seorang wanita.
Perkenalan bermula di Facebook pada 27 Julai lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa diperdaya suspek menyertai pelaburan wang menerusi aplikasi OSL.
Mangsa yang tertarik dengan tawaran suspek membuat pelaburan RM348,673 tanpa menyedari ia aplikasi tidak wujud, ujarnya.
Pengadu memasukkan dana tersebut sebanyak lapan kali transaksi ke tujuh akaun bank dalam tempoh sejak 12 hingga 26 Ogos lepas.
“Selepas beberapa hari, pengadu mendapati akaun pelaburan OSL itu memperoleh keuntungan RM1,060,085.41,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Bagaimanapun pengadu menyedari ditipu selepas suspek meminta bayaran 30 peratus daripada keuntungan.